Wednesday, June 6, 2012

PENGHARGAAN KEPADA KUMPULAN BORIA SK TAMAN SERI RAMPAI


Melihat video di atas mengingatkan admin kepada persembahan boria semasa Hari Guru. Terkejut juga bila mendapat undian kena buat persembahan boria di depan murid sedangkan sebelum ini tidak pernah sekalipun berboria. Walaubagaimanapun di atas kepercayaan guru besar dan sporting rakan sekumpulan, ditambah pula mendapat tahu sekolah lama admin (SKTSR) baru sahaja memenangi pertandingan boria, admin mula mencari-cari maklumat tentang boria untuk persembahan kumpulan kami.

LATAR BELAKANG SEJARAH : Boria adalah sejenis teater tradisi yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian. Dibawa oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19. Pada mulanya sebagaimana amalan Syiah, mereka melahirkan kedukaan di atas peristiwa tersebut dengan menyeksa diri sendiri. Namun, perubahan masa dan sekatan terhadap penyebaran pemahaman Syiah menyebabkan boria mengambil bentuk baru.

Menjadi wadah hiburan menggabungkan lakonan/sketsa, tarian (para sailor) dan nyanyian rangkap bersyair diketuai seorang penyanyi yang dikenali sebagai Tukang Karang. Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang. Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendang dan violin. Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin menarik persembahan tersebut. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordion, harmonika dan lain-lain.

Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan hendaklah sesuai, jika cerita Arab maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Begitu juga dengan muzik dan tarian yang dimainkan juga mirip bentuk Arab termasuklah bahasa yang digunakan pun telor Arab. Sketsanya banyak unsur nasihat berdasarkan isu semasa/isu keluarga dalam mengharungi kehidupan seharian.
 

Itu adalah sedikit maklumat tentang boria. Bagaimanapun, di peringkat sekolah, boria digunakan untuk menyampaikan mesej dan pesanan bermanfaat kepada pendengar. 

Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Cikgu Norasyikin (pengurus dan jurulatih boria SKTSR), En Zainuddin (menyediakan minus one) dan Pn Hjh Khalsom bt Ahmad (Guru Besar SKTSR) kerana sudi memberi pertolongan dan berkongsi bahan boria ini, pada mulanya admin memang tercari-cari bahan terutama minus one boria dan idea untuk persembahan. (video di atas amat membantu, tetapi tidak sehebat persembahan mereka kerana latihan kumpulan kami cuma sehari sahaja). Pertolongan anda semua amat kami hargai.

Dan secara peribadinya, admin begitu kagum dengan persembahan hebat murid-murid lama admin di SKTSR dulu (rasanya mengajar mereka di tahun 3 dulu) kerana amat berkeyakinan ketika berada di pentas. Tahniah admin ucapkan! Realitinya ramai pelajar-pelajar hebat dan pandai dalam pelajaran sekarang tetapi tidak ramai yang berkeyakinan ketika berucap atau berada di pentas. Ini merupakan satu kelebihan dan inipun merupakan satu penilaian kepada murid-murid khususnya ketika memohon sekolah-sekolah terpilih selepas UPSR nanti.

** InsyaAllah, kita sama-sama doakan agar murid-murid SKBB pun ramai yang hebat dalam pelajaran dan berkeyakinan ketika berada di hadapan. Amin!

1 comment:

  1. Memang dasyat persembahan boria ni! patutla menang. Tahniah!

    ReplyDelete